CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

I made this widget at MyFlashFetish.com.

Aspek-Aspek dalam Bahasa Melayu

Tuesday, February 3, 2009

Peperangan yang berlaku di dunia banyak membawa kemusnahan. Bincangkan.



Isi-Isi Penting :

Peperangan membawa kemusnahan kerana :
- memusnahkan harta benda.
- mengorbankan banyak nyawa.
- memusnahkan alam sekitar.
- memincangkan perjalanan ekonomi.
- kesan-kesan sampingan peralatan perang.
- sistem sosial negara menjadi pincang.

Peperangan membawa pelbagai kesan buruk kepada manusia. Peperangan yang biasanya menggunakan peralatan senjata yang semakin canggih, bukan sahaja mengorbankan jiwa manusia malah membawa seribu satu mcm kesan negatif lain. Perang dunia kedua sahaja telah mengorbankan lebih kurang dua juta manusia sama ada yang terlibat secara langsung atau tidak dalam peperangan tersebut. Kemusnahan perang yang besar inilah yang telah mendorong pembentukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 1945 yang bertujuan untuk memelihara keamanan dunia.


Kesan perang yang paling nyata ialah ia banyak mengorbankan nyawa manusia. Peperangan adalah berpunca daripada pertikaian di antara manusia. Dengan demikian matlamat perang adalah untuk menawan secara kekerasan sekelompok manusia. Nyawa terpaksa dipertaruhkan kerana setiap pihak tidak mahu mengalah. Biasanya yang terkorban dalam perang ialah mereka yang terbabit secara langsung dalam peperangan iaitu anggota tentera. Bagaimanapun peperangan juga biasanya akan membabitkan nyawa orang awam. Dalam Perang Teluk yang lalu lebih 10,000 orang awam Iraq terkorban. Ini membuktikan bahawa peperangan akan mengorbankan banyak nyawa manusia.


Selain itu peperangan juga banyak sekali memusnahkan harta benda. Peralatan ketenteraan yang semakin canggih seperti bom nuklear, meriam dan peluru berpandu berkeupayaan untuk memusnahkan apa sahaja dalam lingkungan sasarannya. Peluru berpandu Scud yang digunakan oleh Iraq dalam Perang Teluk umpamanya dapat memusnahkan apa sahaja dalam lingkungan 30 meter daripada sasarannya. Ini boleh memusnahkan sejumlah besar harta benda sama ada milik tentera atau orang awam. Bagi tentera, antara harta yang boleh musnah dalam peperangan ialah senjata, kapal pejuang dan kereta perisai, sementara orang ramai akan kehilangan tempat tinggal dan harta.


Peperangan yang berlaku juga boleh memusnahkan alam sekitar. Peperangan memungkinkan kawasan hutan terbakar. Letupan bom nuklear akan menyebabkan bahan kimia tertentu merosakkan alam sekitar. Bom atom yang digugurkan di Hiroshima dan Nagasaki dahulu umpamanya telah menjadikan sisa-sisa nuklear terbebas di udara sehingga mengancam kehidupan manusia. Sebagai strategi perang pula, bahan-bahan tertentu seperti minyak mungkin sengaja ditumpahkan ke laut untuk menghalang perjalanan pihak musuh. Dalam Perang Teluk lalu, pihak Iraq dikatakan sengaja menumpahkan minyak dari telaga-telaga minyak Kuwait. Perbuatan ini menyebabkan alam semulajadi di laut musnah dan kesannya akan turut dirasai oleh manusia.


Selain itu peperangan juga akan menyebabkan kepincangan perjalanan ekonomi sesebuah negara. Ekonomi merupakan nadi bagi sesebuah negara. Tanpa sumber ekonomi yang mencukupi, sesebuah negara tidak berupaya untuk berdiri sendiri. Dalam peperangan, ekonomi negara yang terbabit amat penting. Jika ekonomi mereka dilumpuhkan oleh musuh, maka ada kemungkinan untuk mereka kalah dalam peperangan. Dalam peperangan, setiap satu pihak yang bermusuh akan berusaha memusnahkan ekonomi lawannya. Ekonomi juga musnah apabila sasaran perang memusnahkan sumber-sumber ekonomi seperti pertaniaan dan perusahaan.


Sistem peralatan perang semakin hari semakin canggih. Setiap negara berusaha untuk mempercekapkan sistem pertahanan masing-masing dan turut berusaha untuk memenangi peperangan dalam apa cara sekalipun. Inilah yang menimbulkan pelbagai gejala seperti penggunaan racun berbentuk bom kimia dan tenaga nuklear. Bahan-bahan ini mempunyai kesan serta-merta dan sampingan yang berbahaya. Selain dapat membunuh manusia melalui kimia yang terbebas melalui letupan, bahan-bahan itu juga mengancam kehidupan dalam jangka masa panjang. Kecacatan yang dialami oleh bayi-bayi yang dilahirkan di Jepun selepas Perang Dunia Kedua contohnya, telah banyak dihubungkan dengan kesan sampingan bahan kimia.


Peperangan juga boleh menyebabkan kepincangan sistem sosial sesebuah negara. Pengalaman negara yang pernah berperang dan rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum menunjukkan bahawa kesan perang amat besar kepada sistem sosial mereka. Di Yugoslavia yang kini dilanda perang umpamanya, hubungan sentiasa tegang di antara masyarakat Islam dengan bukan Islam disebabkan peperangan di negara mereka. Jumlah orang tua akan melebihi golongan muda dan bilangan perempuan akan melebihi lelaki. Ini kerana orang lelaki yang muda banyak terkorban dalam perang. Keadaan ini sudah tentu menyebabkan sistem sosial sesebuah kelompok masyarakat atau negara itu kurang sempurna.


Jelaslah bahawa peperangan membawa pelbagai kesan negatif kepada manusia dan alam sekitarnya. Peperangan bukanlah penyelesai masalah. Oleh itu peperangan perlu dielakkan. Setiap pihak haruslah bertolak ansur untuk menyelesaikan sebarang pertikaian melalui saluran sah antarabangsa. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah ditubuhkan untuk menjamin keamanan dunia. Oleh yang demikian pihak atau negara yang bertikai haruslah menggunakan pertubuhan tersebut untuk menyelesaikan masalah masing-masing. Peperangan bukanlah jawapannya.