CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

I made this widget at MyFlashFetish.com.

Aspek-Aspek dalam Bahasa Melayu

Wednesday, June 25, 2008

Teknik atau Tips sebelum menjawab soalan memodenkan

Soalan Memodenkan (dari peperiksaan setengah tahun yang
lepas):

Dengan
tiada berapa lamanya sampailah mereka itu ke Negeri Daha itu. Maka Raden Inu
segan masuk lalu menanti di luar istana. Maka disuruhnya Jerude dan Kartala
masuk bersama-sama dengan Mahadewi akan menghadap Kebawah Duli Sang Ratu Daha
itu.

Maka
tatkala dilihat oleh Sang Ratu akan Mahadewi datang dengan balut matanya,
sungguhpun selama ia pergi tiada dikenangnya, akan tetapi pada masa bertemu itu
timbullah belas dan kasihan di dalam hatinya serta teringatlah ia pada isterinya
yang sudah meninggal diracuni itu. Lagi pula baharulah ia tersedar akan dirinya
dan baharulah diketahuinya akan segala kejahatan Paduka Liku itu kerana pada
masa itu rupa-rupanya segala hikmat dan ubat-ubatan Paduka Liku itu telah hilang
kemanjurannya.

(15 Markah)


Para pelajar selalunya mengatakan sukar untuk menjawab soalan memodenkan walaupun kamu belum melihat petikan prosa klasik tersebut. Persepsi atau konsep ini boleh mengganggu dan menghalang kamu dari menjawab soalan memodenkan semasa peperiksaan mahupun semasa latihan dalam bilik darjah.

Berikut ialah di antara beberapa cadangan yang boleh kamu lakukan sebelum menjawab soalan memodenkan :

1. Senaraikan dulu watak-watak yang ada dalam petikan prosa klasik tersebut. Pastikan kamu berjaya mengenal pasti beberapa watak yang mempunyai persamaan agar pemilihan kata ganti nama kamu tepat dan sesuai.

Contoh (dari soalan memodenkan peperiksaan setengah tahun):
a. Watak-watak :
- Raden Inu / Baginda (-nya).
- Jerude.
- Kartala.
- Mahadewi / Puteri Baginda (ia).
- Kebawah Duli Sang Ratu Daha / Sang Ratu.
- Permaisuri baginda (isterinya).
- Paduka Liku.

2. Nyatakan latar tempat, iaitu tempat prosa klasik itu diceritakan.
- Dalam istana.
- Luar istana.

3. Nyatakan pokok persoalan yang ada dalam petikan tersebut.
- Raden Inu datang ke istana untuk menghadap Kebawah Duli Sang Ratu Daha.
- Mahadewi pulang dalam keadaan bengkak di bahagian matanya.
- Baginda teringat akan permaisurinya yang telah mangkat.

4. Barulah kamu membuangkan perkataan-perkataan yang tidak diperlukan seperti maka, arakian, syahadan, -la, -pun dan perkataan-perkataan klasik yang lain.

5. Jika kamu mengetahui maksud perkataan klasik yang ada dalam petikan tersebut, kamu perlu tukarkan menjadi bahasa moden. Ini penting kerana jika kamu mengekalkan perkataan klasik tersebut markah kamu akan dipotong sedikit sebab tidak mengikut arahan soalan iait menukarkan petikan klasik menjadi bahasa Melayu moden.

Contoh :
a. balut matanya - bengkak di matanya.
b. hilang kemanjurannya - hilang kesannya.
c. berkhalwat - bersendirian di suatu tempat.

* Oleh itu kamu perlu mencatat perkataan-perkataan klasik yang baru kamu dapat dalam kamus persendirian kamu. Ini membolehkan kamu terbiasa apabila melihat perkataan-perkataan klasik tersebut.

Terima Kasih kepada pelajar yang bertanya. Cikgu harap ia dapat memberikan manfaat kepada semua pelajar-pelajar cikgu dan cikgu harap kamu manfaatkan ilmu yang cikgu terangkan di internet ini dengan sebaiknya.

Sekian.

1 comments:

ajinur said...

terima kasih cikgu atas teknik yang cikgu berikan. kini saya faham bagaimana mahu memodenkan bahasa melayu klasik. izinkan saya menggunakan teknik yang diberikan oleh cikgu..